Monday 29 July 2013

Poring Hot Spring


Poring Hot Spring terletak kira-kira 40 km di timur laut pusat Taman Kinabalu.Poring bagi kadazandusun merupakan sejenis sepesies pokok buluh yang tumbuh di kawasan itu.Ia terkenal kerana kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik.Kolam air panas oring dikenali  kerana air panasnya mengandungi galian sulfur yang boleh menyegarkan badan.Kolam air panas semulajadi ini amat sesuai bagi menghilangkan rasa penat dan juga sakit sendi bagi mereka yang telah mendaki Gunung Kinabalu.Para pelancong juga berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung sepanjang 157.8 m dengan ketinggian 41 m  di atas pokok.Terdapat juga taman kupu-kupu dan pusat pemuliharaan orkid di sini.                                                                                      

                                          Para pelangcong boleh menaiki bas awam dari Kota Kinabalu untuk ke kolam air panas poring tetapi perkhidmatan yang mereka sediakan cuma sekali dalam sehari sahaja.Cara lain untuk kesana adalah dengan menaiki teksi dari Ranau dengan anggaran kos sebanyak RM30.00.

 destinasibarupelancongansabah.blogspot.com/.../porin...

Pesta Kalimaran



Pesta Kalimaran adalah perayaan bagi suku kaum Murut di Sabah. Perayaan yang kaya dengan kebudayaan Murut dan mewakili semua aspek kebudayaan Murut turut diadakan. Untuk mengenali lebih dalam mengenai kebudayaan Murut, maka Pesta Kalimaran adalah tempatnya. Perkataan Kalimaran adalah merujuk dengan aktiviti pembuatan kraftangan Murut. Ianya merujuk dengan kata murut 'ralaa' dan 'alimar'. 'Ralaa' bermaksud wanita muda dan 'alimar' bererti gigih bekerja, minda yang kuat, ketekunan dan boleh dipercayai. 


 Menurut cerita, ada seorang wanita Murut Ralaa. Dia seorang yang rajin bekerja. Tetapi abangnya yang bernama Yolomar hendak mengorbankan Ralaa untuk kebaikan masyarakat mereka. Sebelum dia dikorbankan, dia telah mengeluarkan banyak hasil kraftangan seperti tikar, silaung, tikalis, buyung, lintoyog dan onot dengan menggunakan bahan asas buluh, rotan dan bamban. Ralaa mengakhiri kalimarannya dengan menenun kain Sampoi dengan menggunakan benang yang dihasilkan dari akar pokok Timahan. Akhirnya, Ralaa telah dikorbankan oleh Yolomor untuk mendapatkan benih ladang pertaniannya.






Kerajaan negeri Sabah telah mengangkat Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri pada tahun 2003. Bermula dari situ perayaan ini disambut pada bulan April setiap tahun di Pusat Kebudayaan Murut. Perayaan ini dianjurkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Lembaga Kebudayaan Sabah dan Persatuan Murut Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom.


ms.wikipedia.org/wiki/Pesta_Kalimaran

Tadau Kaamatan

Pesta Kaamatan atau nama lain (Tadau Kaamatan) atau dalam bahasa kadazan 'Magavau' merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati 'Bambazon' iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan 'Magavau' ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua dua tangan diangkat ke atas paras bahu dan dikibar kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.





Selain daripada persembahan tarian sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan dan ratu cantik atau 'Unduk Ngadau', dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.


Antara hidangan popular semasa perayaan ialah meminum tapai atau 'Kinomol', iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau 'Tajau' selama seminggu atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses 'memberi rasa' kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.


Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil 'sumbiling' untuk menyedut air tapai dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan 'singgarung' yang diperbuat daripada buluh.

www.sabah.gov.my/md.bln/Keamataan2.html

Kaum Murut


Kaum Murut menetap di pedalaman kawasan tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak.Suku kaum Murut adalah suku kaum ketiga terbesar di Sabah.Tempat tinggal mereka termasuk Tenom, Kemabong, Pensiangan dan Keningau.Dahulu mereka tinggal didalam rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga besar.Kebanyakan mereka adalah petani berpindah, pemburu dan penangkap kan sungai.Mereka juga menjalankan pemungutan hasil hutan (damar, rotan dan madu lebah).Pada masa kini, Kaum murut sudah ada yang berkhidmat dalam sektor awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertahanan.


Perkataan 'Murut' merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah.Murut terdapat di beberapa kawasan seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan dan Kinabatangan.Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan dan Murut Serundung.Dimana kaum murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang.Suku kaum murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan.Kaum murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum murut yang lain seperti Lun Bawang/Lun Dayeh.Ini disebabkan faktor geografi sebagai penghalang dalam komunikasi bahasa mereka.




Secara uniknya, kaum murut tinggal di rumah panjang yang berhampiran dengan kawasan sungai atau membuat penempatan sepanjang sungai.Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10-20 keluarga.Tetapi terdapat juga kaum murut yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai.Suku kaum murut pakar dalam membuat perahu dan menurunkan kepakaran mereka kepada generasi seterusnya.Selain itu, kaum murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang dilakukuan oleh generasi muda suku kaum ini.



www.sabah.edu.my/kds/murut.html

Kaum Bajau



Kaum Bajau merupakan suku kaum kedua terbesar di Sabah. Kaum bajau kebanyakannya beragama Islam dan berasal dari dua kumpulan etnik yang tidak jauh bezanya iaitu Bajau di Pantai Timur dan juga Bajau di Pantai Barat. Mereka ini merupakan antara pelaut terkenal pada zaman dahulu sebelum kedatangan penjajah di Sabah. Kaum Bajau didapati mempunyai kemahiran membina sampan atau kapal yang sederhana saiznya dalam beberapa cacatan sejarah.


Kaum Bajau dahulunya juga adalah pelaut yang mahir di mana kegiatan utamanya ialah pelanunan serta penangkapan ikan. Orang-orang Bajau juga mempunyai kemahiran menunggang kuda dan ini menjadikan mereka antara kaum paling berjaya di Sabah. Kemahiran mereka ini menjadikan mereka terkenal di negeri Sabah dan diberi gelaran 'Koboi Timur' atau 'Koboi Sabah'. Semasa dalam majlis tertentu seperti pesta dan hari perayaan, penunggang kuda kaum Bajau ini sering kelihatan dalam pakaian berwarna-warni malah kuda mereka juga dipakaikan kain seperti penunggang juga.


Orang Bajau yang berada di sebelah Pantai barat kebanyakannya menetap dari bahagian Kota Kinabalu sehingga Kota Belud. Bagi kaum Bajau yang berada di bahagian pantai Timur Sabah, mereka masih mengamalkan kehidupan tradisional seperti kegiatan menangkap ikan dan kaum Bajau di sini digelar Bajau Laut. Walaubagaimanapun orang-orang Bajau di bahagian Timur Sabah kebanyakannya telah menetap di darat atau di perkampungan di tepian pantai. Segelintir daripada mereka masih lagi tinggal dalam perahu yang merantau ke sana sini iaitu Lepa. Kaum wanita Bajau juga terkenal dengan tenunan kain mereka iaitu dastar yang disulam dengan kain berwarna merah, kuning, hijau, oren, emas dan putih.















Di Sabah, 6 bahasa Bajau digunakan dan semuanya berasal daripada keluarga Sama-Bajau. Pengguna bahasa ini termasuklah pendatang-pendatang daripada negara jiran. Bagi kaum Bajau daripada bahagian pantai Timur Sabah, bahasa mereka dipinjam daripada Suluk iaitu bahasa perdagangan di Laut Sulu. Kaum Bajau di pantai Barat Sabah pula mengadaptasikan bahasa mereka daripada bahasa Melayu. Kaum Bajau bahagian ini telah bekerjasama dengan kaum Kadazandusun dari segi aktiviti ekonomi, perdagangan, perhubungan sosial serta kebudayaan. Orang Bajau dikatakan telah menggunakan sistem barter dalam aktiviti ekonomi mereka iaitu menukar ganti hasil tangkapan ikan mereka dengan beras orang Kadazan. Bukan itu sahaja, pengaruh kebudayaan daripada kedua-dua kaum ini juga dapat dilihat dari segi kesenian material, muzik dan juga rekabentuk bangunan.


bukuskrapbudaya.blogspot.com/.../kebudayaan-kaum...


Kaum KadazanDusun



Kadazandusun merupakan sebuah etnik pribumi yang menetap di Pantai Barat Sabah dan kawasan pendalaman sekitarnya.Kaum Kadazandusun sebenarnya dibentuk oleh dua kaum utama Sabah iaitu 'Kadazan' dan 'Dusun'.Namun disebabkan persamaan bahasa, budaya dan situasi politik kaum Kadazan dengan kaum dusun, satu istilah baru telah terbentuk untuk menyatukan kedua dua kaum ini iaitu Kadazan Dusun.Kaum Kadazandusun membentuk etnik terbesar di Sabah.




Terdapat pelbagai kaum di dalam kaum Kadazandusun. Kaum Kadazandusun merupakan kaum bumiputra asli yang terbesar di Sabah. Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Kadazandusun merujuk kepada 41 etnik seperti Bisaya, Kuijau, Murut, Sungai, Bonggi, Lingkabau, Nabai, Tatana, Bundu, Liwan, Paitan, Tangar, Dumpas, Lobu, Pingas, Tidong, Gana, Lotud, Rumanau, Tindal, Garo, Lundayo, Rungus, Tubilung, Idaan, Makiang, Sinobu, Tolinting, Kadayan, Malapi, Sinorupu, Tombonuo, Kimaragang, Mangkaak, Sonsogon, Tuhawon, Kolubuan, Minokok, Sukang dan Tutung.






Kaum Kadazandusun merupakan kaum yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat istiadat yang merupakan warisan secara turun temurun oleh nenek moyang mereka dan melambangkan keindahan adat dan budaya mereka sebagai kaum terbesar di Sabah. Kebanyakan amalan tersebut mengandungi unsur unsur ritual dan animisme. Ia jelas terlihat melalui adat resam dan kepercayaan yang diamalkan dalam aspek kelahiran perkahwinan dan kematian. Kaum Kadazandusun memiliki banyak budaya yang boleh diwarisi contohnya dari segi asal usul, lagenda dan perkembangan suku kaum Kadazandusun, bahasa, pakaian tradisional, muzik berunsurkan tradisional, corak kehidupan masyarakatnya, tarian tradisional dan kemuncak bagi pemartabatan warisan budaya Kadazandusun ialah perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan setiap tahun.

bukuskrapbudaya.blogspot.com/.../kebudayaan-kaum...


Hinava




Pernah dengar Hinava ? Apa itu ? Hinava merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa suku kaum Kadazan Dusun di Sabah.Ianya sejenis campuran isi ikan segar, limau ,cili api ,bawang merah dan juga garam.Namun biasanya untuk menghasilkan rasa yang lebih enak, bahan-bahan tambahan seperti halia dan daun saderi turut digunakan.Isi ikan tersebut tidak perlu di masak, hanya perlu di perah dengan air limau kapas (limau nipis) atau limau kasturi.Terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh digunakan, tetapi biasanya isi ikan tenggiri.Selain itu, isi sotong dan udang juga boleh digunakan dalam penyediaan hinava ini.





Hinava biasanya merupakan makanan istimewa semasa Tadau Keaamatan.Selain itu, ianya juga menjadi hidangan istimewa pada majlis penting seperti majlis perkahwinan, pertunangan dan lain-lain.Terdapat variasi resipi untuk membuat hinava.Ada yang di makan secara terus mentah (hirisan ikan) dan ada juga hirisan ikan yang dicelur kedalam air panas seketika.Itu semua mengikut cita rasa tersendiri.Untuk mendapatkan hinava tidak sukar kerana kini banyak tempat makanan yang menyediakannya dengan harga yang berpatutan.



ms.wikipedia.org/wiki/Hinava